Saturday, 3 March 2012

Hari hari yang hilang

Ke mana aku?
Di mana aku?
Tenggelam dan larut dalam lautan asyik
Bermain sandirawa di langit yang ke tujuh
Bersama dewa dan dewi kayangan yang tidak pernah wujud
Kecuali dalam khayal dan anganku semata

Aku memanggil diri untuk sedar, dan berpijak di bumi yang nyata
Wahai, banyaknya perkara yang tergendala
Tidak terjentik pun sesal di hati
Kerana kesempitan ini sudah menjadi sebahagian dari kebiasaan harian
Maka tidak mengapalah kalau aku hilang sejenak demi keenakan sementara
Wahai, mudahnya aku beralas hanya untuk menghitung sebuah kegagalan lagi

Apa perlunya untuk memanggil kembali yang sudah hilang itu
Hari yang pergi tidak mungkin mengundur lagi
Maka itulah hakikatnya bila leka dan tidak berawas
Tidak pernah mahu mendasarkan hati kepada yang hakiki
Degilkah aku? Angkuhkah aku? Bila enggan dan menafikan
Akan kekalahan dan ketewasan ini

Sungguh, aku tidak merasakan apa-apa
Bila hari pun pergi begitu sahaja
Meratah usia remajaku berinsut ke senja berkedut
Tanpa apa sejarah yang tercatat yang boleh dibanggakan
Ah, keras sungguh hati ini tidak merasa apa yang patut
Paling pasti, kegelisahan itu tetap ada walaupun tidak ketara
Mungkin kerana masih ada sedikit kewarasan di dasar yang paling dalam

Ralat dan ralit menggalas segala kegagalan
Di atas belakang yang semakin membongkok
Tidak, tidak pernah aku mencermin wajah
Demi hari yang berlalu pergi seperti buih seperti asap

Perlukah direnung apa yang sudah dilepaskan pergi
Membilang detik-detik yang memakan usia dan zaman
Demi sebuah kejujuran yang amat menyakitkan
Atau sengaja melarikan diri dari hakikat yang sebenar
Semakin hari semakin terkambus segala cita dan harapan
Semakin lama semakin mereput azam yang dipacak
Tidak tinggalkan apa-apa lagi selain tulang dan kulit yang sudah mengecut
Tidak ada gahnya, tidak ada yang dapat dinilai waima impian yang seolah asap

Dan, sampai bila pula aku hanya akan merungut dan bersungut sahaja?
Tidak jemukah? Tidak bosankah? bila memuturkan dialog yang sama dan serupa
Dek akal yang terjepit dan kelam
Mata memandang tidak jatuh ke hati
Telinga yang mendengar pun tidak terasa di hati
Tangan yang menggenggam pun tidak rasa eratnya

Hanyut, hanyut dibawa arus waktu
Tengelam tidak, timbul pun tidak
Mungkinkah akan tersangkut dek akar di tebing
Adakah ada daya untuk menongkah arus itu

Reput, mereput di mamah masa
Seolah sebatang tunggul di tepinya jalan
Hanya memandang hilir dan mudik yang lalu lalang
Adakah akan terus menjadi pemerhati sahaja




Sunday 18th December, 2011 as 22nd Muharram 1433H --- 4.15am

Sunday, 11 December 2011

Hati dalam bingkai

Aku mahu mempersembahkan sesuatu untukmu
Tapi aku tidak ada sebarang yang bernilai
Yang mampu membuatkan engkau tersenyum
Yang mampu membuatkan engkau menitiskan air mata

Aku mahu memberikan yang terbaik untukmu
Tapi aku tidak berupaya mengadakannya
Yang mampu menyenangkan engkau
Yang mampu menggembirakan engkau

Aku mahu melimpahkan kesenangan kepadamu
Tapi aku tidak berkudrat sebesar itu
Yang mampu mengubah gunung merata bukit
Yang mampu mengalih aliran air sungai

Aku mahu memayungimu dari tempiasnya hujan
Tapi aku tidak memiliki payung yang besar
Yang mampu melindungimu
Yang mampu memberi perteduhan kepadamu

Aku mahu membingkaikan hatiku
Tapi aku tidak tahu
Entah bernilai kepadamu
Walaupun ianya bermakna bagiku

Thursday 10th November, 2011 as 14th Zulhijjah, 1432H -7.50am

Saturday, 10 December 2011

Badai Hati

Tangisan di bibir hati tanpa setitis pun di kelopak mata. Di dalam dada, perasaan yang bergelora mengaum-ngaum sendirian seolah harimau yang sedang kesakitan. Tidak dapat aku gambarkan keresahan ini, resah dek jiwa yang kosong dan hambar.

Mungkinkah dengan mengeluarkan air mata akan meredakan sesaknya dada. Betapa aku mahu melarikan diri dari kesakitan yang begitu mencengkam hati yang telah sedia remuk. Aku tahu, sakitnya yang membekam di dalam tidak ada tolak bandingnya. Aku tidak mahu mengulangi perkara yang sama berulang kali. Cukup-cukuplah sudah.

Sebolehnya aku mahu terbang bebas, tinggi sejauh-jauhnya dari sini. Tidak lagi perlu bersusah payah menjeruk rasa sebegini. Malangnya, kaki dirantai, tanganku terikat. Kekecewaan ini seolah mahu memecahkan tembok kesabaran ini. Masih ada lagikan kesabaran dalam hati ini? Yang mampu digunakan untuk membalut luka hatiku

Kelegaan buat masa ini masih terlalu jauh untuk digapai. Dalam dada, seolah sudah tidak ada lagi ruang untuk bernafas. Dalam kepala, tali temali bayangan hitam semakin kusut mengusutkan. Aku kelemasan dan kegelisahan yang amat sangat.

Perkara inilah yang pernah aku deritai bertahun dahulu, sengsara yang aku fikir sudah tamat riwayatnya. Tidak pula aku menjangka sejarah akan berulang lagi Lompang kosong yang ditinggalkan itu cukup luas dan besar. Seolah tidak ada perkara yang boleh diisikan ke dalamnya.

Seolah badai di lautan yang sepi, ianya kadang kala reda dan kadangkala mengganas semahunya. Bila sedikit tenang, maka kepala ini dapat bertenang seketika. Bila ianya mengganas, dari hujung kaki ke hujung rambut rasanya aku ini tidak waras. Dan mulalah aku tertanya dan berteka teki, alamat apakah ini, adakah kerana hari esok yang masih tidak menentu itu menjanjikan satu cabaran yang aku tidak dapat tangani? Jika ya, makin lemahlah semangatku , layu dan seolah sumbu pelita yang bila-bila masa sahaja boleh terpadam dek satu hembusan nafas. 

Alangkah penatnya aku melayan kerenah emosi ini. Lelah aku menghambatnya pergi, namun ianya tetap bertandang tanpa diundang dengan segala macam cucukan yang mampu memberikan aku kesakitan demi kesakitan yang tidak dapat aku perhitung lagi. Aku amat bencikan keadaan ini, yang mana sudah begitu lama aku merencanakan bahawa waktu kelapangan ini digunakan untuk yang lebih berfaedah, bukannya untuk melayan perasaan yang sekian lama semakin buruk pula perangainya. 

Meluahkan apa yang tersirat. Memuntahkan apa yang terbuku mengharapkan ianya dapat menjernihkan yang keruh, merungkai yang tersimpul. Sungguhkah begitu? 

Monday 28th November, 2011 as 2nd Muharram 1433H -3.00pm

Wednesday, 7 December 2011

Hati, ingatlah pesan ini

Hati,
Jangan cepat marah
Jangan cepat merajuk
Jangan cepat tersentuh
Jangan cepat tersinggung

Hati,
Jangan mudah terpedaya
Jangan mudah terpesona
Jangan mudah remuk

Hati,
Jangan berpura-pura
Jangan bersandirawa
Jangan menjeruk rasa
Jangan memendam dendam

Hati,
Jangan kecewa bila gagal
Jangan menangis bila tewas
Jangan punah dek cinta sementara

Hati,
Cepatlah sembuh
Cepatlah matang
Cepatlah memaafkan
Cepatlah melupakan

Hati,
Jangan takut rasa bersalah
Jangan takut mengaku salah
Jangan takut untuk buat salah

Hati,
Jangan takut membuat keputusan
Jangan takut bayang sendiri
Jangan takut pada yang lain

Hati,
Jangan patah semangat
Jangan pudar keazaman
Jangan putus pengharapan

Hati,
Jangan baik sangat
Jangan lurus sangat
Jangan lembut sangat

Hati,
Biar keras sedikit
Biar degil sedikit
Biar kejam sedikit

Hati,
Biar berpegang pada yang benar
Biar berserah pada yang Satu
Biar lapang dan damai selalu



Friday 4th November, 2011 as 8th Zulhijjah, 1432H -7.00am

Tuesday, 6 December 2011

Mengharap wajah kekasih

Betapa aku ini seorang perindu
Yang merayu pujaan hati
Walau berkurun lamanya waktu
Laranya jiwa tidak terperi

Betapa aku ini sedang mengharap
Yang menanti wajah sang kekasih
Walau sekilas tidak mengapa
Sengsara hati tidak tertanggung

Betapa aku ini dambakan cinta
Yang tidak pernah merasa cukup
Walau dihampar seluas lautan
Dahaga jiwa tidak terkira

Betapa aku ini menagih sayang
Yang mengharap pada nan satu
Walau setitis puaslah sudah
Siksanya batin dirantai nafsu

Betapa aku ini mencari jauhari
Yang mengembara di gurun yang sepi
Walau patah kaki dan sendi
Takkan ku surut langkah ini

Betapa aku ini hanyalah abdi suruhan
Yang setia hanya padaNya
Walau dihimpit oleh godaan
Tidak sekali ku hirau jua

Betapa aku ini mengharapkan rahmat
Yang penuh dengan nikmat
Walau payah untuk digenggam
Tidak bermakna semangatku padam

Betapa aku ini gerunkan murkaNya
Yang sentiasa aku ingkari
Walau cuba beribu kali
Sempadan yang digaris tetap direntasi


Tuesday 15th November, 2011 as 19th Zulhijjah, 1432H - 11.13pm

Monday, 5 December 2011

Mentari Senja

Jika aku pandai melukis, akan ku lakarkan mentari keemasan itu 
Yang tidak pernah gagal berada di sana setiap hari di waktu yang sama
Bulat bundar, bersedia untuk beradu untuk sekian kalinya di hujung ufuk
Asyiknya mata memandang

Jika aku pandai bermadah, akan ku nukilkan kata nan sakti
Seperti karangan mutiara putih dari dasar lautan yang paling dalam
Awan keperakan itu bergandingan sang mentari yang merah jingga
Leka aku melihat alam

Jika aku pandai berlagu, akan ku nyanyikan irama merdu
Meriwayatkan keindahan alam yang tiada tolok bandingnya 
Si bumbung langit yang dijunjung tidak pernah jemu direnung
Adakalanya biru jernih, adakalanya dihiasi gumpalan awan berarak
Terpesona aku ciptaan Tuhan

Jika aku pandai berperi, akan ku khabarkan detik yang menakjubkan ini
Bangunan kaca dibias sinar jingga dan diselimuti bayang gelap, berlainan sisi
Alunan bukit bukau semakin kelam ditelan kesuraman
Sang mentari sudah masuk ke peraduan, meninggalkan segaris cahaya di kaki langit
Sebentar lagi muazzin akan melantunkan suaranya


28/6/2011

Sunday, 4 December 2011

aku 7

Aku kapal yang hilang kompasnya. Bergerak cuma mengikut arah angin yang bertiup di kala ini. Aku perahu tanpa kemudi yang cuma mampu bergerak mengikut arus sungai, dan sekiranya aku tersadung akar pokok, maka tersangkutlah aku di situ tidak bergerak walhal seluruh kehidupan lain bergerak dengan pantas mengikut keperluan masing-masing, 

Hari berganti hari, siang berganti malam, minggu berganti bulan berganti tahun, namun aku adalah tunggul kayu itu yang hanya berada di atas tebing sungai yang semakin hari semakin reput di makan masa. Sedangkan yang lain berkembang dan menjadi lebih baik dan berubah. 

Aku manusia yang hampir hilang tekadnya, samar keyakinannya, kabur kehendaknya, keliru tentang hatinya, tidak mampu mendorong diri membuat yang terbaik.

Yang membuang masa, yang sia-sia, yang tidak punya nilai adalah tunggangan harianku. Itulah pacuan hidupku seharian. 

5.40am 10.00pm  Rabu 10 March 2010, 25 Rabiul Awal 1431H