Tangisan di bibir hati tanpa setitis pun di kelopak mata. Di dalam dada, perasaan yang bergelora mengaum-ngaum sendirian seolah harimau yang sedang kesakitan. Tidak dapat aku gambarkan keresahan ini, resah dek jiwa yang kosong dan hambar.
Mungkinkah dengan mengeluarkan air mata akan meredakan sesaknya dada. Betapa aku mahu melarikan diri dari kesakitan yang begitu mencengkam hati yang telah sedia remuk. Aku tahu, sakitnya yang membekam di dalam tidak ada tolak bandingnya. Aku tidak mahu mengulangi perkara yang sama berulang kali. Cukup-cukuplah sudah.
Sebolehnya aku mahu terbang bebas, tinggi sejauh-jauhnya dari sini. Tidak lagi perlu bersusah payah menjeruk rasa sebegini. Malangnya, kaki dirantai, tanganku terikat. Kekecewaan ini seolah mahu memecahkan tembok kesabaran ini. Masih ada lagikan kesabaran dalam hati ini? Yang mampu digunakan untuk membalut luka hatiku
Kelegaan buat masa ini masih terlalu jauh untuk digapai. Dalam dada, seolah sudah tidak ada lagi ruang untuk bernafas. Dalam kepala, tali temali bayangan hitam semakin kusut mengusutkan. Aku kelemasan dan kegelisahan yang amat sangat.
Perkara inilah yang pernah aku deritai bertahun dahulu, sengsara yang aku fikir sudah tamat riwayatnya. Tidak pula aku menjangka sejarah akan berulang lagi Lompang kosong yang ditinggalkan itu cukup luas dan besar. Seolah tidak ada perkara yang boleh diisikan ke dalamnya.
Seolah badai di lautan yang sepi, ianya kadang kala reda dan kadangkala mengganas semahunya. Bila sedikit tenang, maka kepala ini dapat bertenang seketika. Bila ianya mengganas, dari hujung kaki ke hujung rambut rasanya aku ini tidak waras. Dan mulalah aku tertanya dan berteka teki, alamat apakah ini, adakah kerana hari esok yang masih tidak menentu itu menjanjikan satu cabaran yang aku tidak dapat tangani? Jika ya, makin lemahlah semangatku , layu dan seolah sumbu pelita yang bila-bila masa sahaja boleh terpadam dek satu hembusan nafas.
Alangkah penatnya aku melayan kerenah emosi ini. Lelah aku menghambatnya pergi, namun ianya tetap bertandang tanpa diundang dengan segala macam cucukan yang mampu memberikan aku kesakitan demi kesakitan yang tidak dapat aku perhitung lagi. Aku amat bencikan keadaan ini, yang mana sudah begitu lama aku merencanakan bahawa waktu kelapangan ini digunakan untuk yang lebih berfaedah, bukannya untuk melayan perasaan yang sekian lama semakin buruk pula perangainya.
Meluahkan apa yang tersirat. Memuntahkan apa yang terbuku mengharapkan ianya dapat menjernihkan yang keruh, merungkai yang tersimpul. Sungguhkah begitu?
Monday 28th November, 2011 as 2nd Muharram 1433H -3.00pm
No comments:
Post a Comment