Sunday, 30 October 2011

Mereka yang datang

Tidakkah ada setitis rasa
Yang menyentuh hati dan perasaan
Simpati atau kasihan
Melihat mereka yang tiada upaya

Tidakkah sekeping hati itu
Dianugerahkan untuk merasa
Bukan hanya untuk diri sendiri
Meletakkan diri di hadapan sentiasa

Alangkah kejamnya manusia ini
Sanggup menghisap darah yang lain
Demi mencapai matlamat diri
Menghalalkan apa pun cara

Alangkah kejinya perbuatan
Membutakan mata memekakkan telinga
Tidak ada perkataan kebajikan di kamus hati
Yang ditamakkan hanya wang dan harta

Mereka datang mencari rezeki
Kenapa mengambil kesempatan itu
Mereka akur demi sesuap nasi
Kenapa menekan keterpaksaan itu

Kenapa manusia begitu zalim
Tidak berperikemanusiaan tidak berhati perut
Meraih laba dari darah, keringat dan air mata
Dari mereka yang daif dan tak berdaya

Dan bayangkan jika sekiranya
Kita terpaksa mengemis di tanah yang lain
Dengan darah, keringat dan airmata
Ditindas, dihina dan dipaksa?

Bersyukurlah, kita beruntung menghuni tanah yang subur

Sunday July 31st, 2011

Saturday, 29 October 2011

Si burung kecil itu

Hutan batu adalah tempat tinggalku untuk sekian lamanya sehinggakan aku lupa akan bicara alam. Mengejar kehidupan kota untuk sekian lamanya membuatkan aku terpesona dan terpedaya. Telinga ini sudah sekian lamanya tidak mendengar deruan ombak dan kicauan beburung. Mata ini sudah sekian lamanya tidak menatap ombak yang berkejaran  di pasiran pantai, sang unggas yang berterbangan bebas atau tupai yang melompat-lompat di celah-celah dahan dan ranting.

Keasyikan yang melalaikan aku untuk sekian lamanya sehingga pudar dari ingatan ini akan hijaunya bukit bukau, birunya langit yang dijunjung, nyamannya udara pagi, dedaun hijau yang dibasahi titisan embun takkala sang suria keluar dari persembunyiannya di sebalik awan. 

Sungguh, aku sudah lupa bagaimana rasanya digigit pacat dan lintah. Aku sudah lupa akan jernihnya air di kali. Aku sudah lupa akan sepinya malam, dan dinginnya dinihari. Lupa akan bunyinya sang kodok selepas hujan, sang cengkerik, si enggang malah si lotong yang terpekik di hujung kampung. Atau suara si burung hantu yang meremangkan dan menyeramkan di tengah malam. 

Pelangiku selepas hujan hanyalah pelangi di celah-celah bangunan kaca. Langitku berjerebu, udaraku membahang, kering dan berdebu. Bukit bukauku adalah deretan ratusan bumbung rumah-rumah teres yang berserakan. Sungaiku keruh dan pekat yang membawa sejuta kisah penamat penghuni kota. Telinga membingit dengan pekikan enjin dan muzik yang memecahkan gegendang telinga. Hariku dimulakan dengan kesesakan lalu lintas di lebuhraya. Begitulah juga caranya aku menamatkan hariku, dengan berada di jalanraya, terhinjut-hinjut bagaikan si arnab tempang.

Aku akur bila tidak lagi mampu mengkiaskan isi alam semulajadi sebagai suluh dan sandaran kata-kata dek miskinnya pengalaman, luputnya ingatan, sempitnya pemandangan, hilangnya rasa tentang alam itu sendiri. Sebuah kehidupan yang kaku. Setiap saat ada fungsinya dan perkara yang sama harus pula diulang beribu kali, hingga ke hujung masa. 

Aku adalah manusia yang berada di sebalik dinding batu ini yang leka 
mengejar waktu berebut peluang
mengejar wang berebut harta 
mengejar pangkat berebut darjat

Atas nama survival

Maka tidak hairanlah jika aku sudah lupa si burung kecil itu namanya si pipit kerana aku hanya memandang si gagak hitam saban hari.



Tuesday July 5th , 2011

Friday, 28 October 2011

Aku tidak pernah berani

Aku tidak pernah berani
Untuk memberanikan hati ini
Melangkah keluar dari bayangan ini
Membebaskan diri dari ikatan ini

Aku tidak pernah berani
Melawan yang tidak disukai
Membantah yang tidak disenangi
Meluah yang terbuku di hati

Aku tidak pernah berani
Mengikut desakan naluri
menggapai sebuah mimpi
Menakluk kejahilan diri

Aku tidak pernah berani
Menegakkan perkara yang benar
Mencegah perkara yang mungkar
Merungkai perkara yang sukar

Aku tidak pernah berani
Berhadapan dengan ujian
Bersemuka dengan cabaran
Bertentang dengan rintangan

Aku tidak pernah berani
Mengharung onak dan duri
Berenang di lautan api
Terbang di angkasa tinggi

Aku tidak pernah berani
Mencari seberkas cinta
Meraih sepotong kasih
Merebut satu kesempatan

Aku tidak pernah berani
Berada di baris depan
Bertarung mati-matian
Berjuang habis-habisan

Aku bosan dengan ketidakberanian ini.

Tuesday July 5th , 2011

Thursday, 27 October 2011

Kakak abang, maaf aku keliru

Nak panggil kakak atau abang
Sebenarnya kakak atau abang
Asalnya kakak atau abang
Jika abang kenapa mahu dipanggil kakak
Jika kakak kenapa mahu dipanggil abang

Aku keliru kak

Bukan kerana aku tidak hormat
Tetapi aku tidak faham
Akan kasarnya tingkah kakak
Akan gemalainya langkah abang

Aku keliru bang

Bukan aku nak memandai-mandai
Tetapi ingin sekali menyelami
Akan halusnya naluri abang
Akan kerasnya bentak kakak

Aku keliru kak

Bukankah kita ada iktikad
Bukankah abah dan umi tidak redha
Bukankah ini dicela Ilahi
Bukankah ini dicemuh orang

Aku keliru bang

Kenapa nafsu yang diraja mahkotakan
Kenapa yang salah jua dijunjung
Kenapa yang tak elok dikelek
Kenapa yang terpesong dikendong

Kakak abang, aku keliru

Benarkah kakak bahagia
sungguhkah abang gembira
Tenangkah kakak, puaskah abang
Dengan kata putus yang diambil

Kakak abang, aku minta maaf

Kerana memandang dengan mata yang was-was
Bukan sengaja tetapi ingin sangat
Mengerti akan kesungguhan dan kekuatan
Yang  dimiliki kakak dan abang

Sehingga sanggup mengubah fitrah yang asal
Sehingga sanggup mengorbankan kesucian jiwa
Pernahkan kakak terfikir akan natijahnya
Pernahkah abang terfikir akan kesudahannya

Kak, kita bangsa yang bertamadun mulia
Bang, kita umat yang berpegangan murni
Sampai bila kak, sampai bila bang
Mengikut rasa dan emosi itu

Kak, sudah-sudahlah tu
Bang, cukup-cukuplah tu
Baliklah, abah tak pernah jenuh memanjat doa
Pulanglah, umi tak pernah kering airmata


Saturday June 25th , 2011

Wednesday, 26 October 2011

Adakah begini rasanya

Adakah begini rasanya
Keinginan yang membuak
Kehendak yang menggelegak
Kemahuan yang bergejolak

Adakah ini satu pedoman
meletakkan aku di satu landasan
Atau hanya satu kebetulan
Di persimpangan waktu dan perasaan

Jantung mula berdegup kencang
Hati sudah melonjak girang
Tangan sibuk karang mengarang
gubahan indah berkajang-kajang

Alangkah senangnya rasa di jiwa
Jika ini bernilai harta
Maka aku duduk berkata
Siang malam aku tak mengira

Mahu berpujangga mahu menyanyi
Mahu bersajak mahu berpuisi
Tidak mengukur kepandaian diri
Tidak menyukat kemahiran diri

Besar sungguh angan di kepala
Kerja dikelek entah ke mana
perut kempis semakin nyata
Dek kerana menurut kata sang jiwa


Memang asyik berharap-harap
Di puncak gunung di bulan di bintang
Digantung dipacak begitu tinggi
Didongak ke langit pandang tak nampak

Aku megah aku bangga
Yang aku kini
Sudah bertatih
Tak serik tak bosan


Aku melayan rasa
Jiwa dan raga
Semuanya gila
Buka pekung nampak dada


Aku tak malu
Kerana bertingkah di gelap malam
Kerana tiada siapa yang perasan
Yang aku sedang rancak mengikut rentak

Aku larut dalam dunia yang tak nyata
Aku hanyut di gelombang angan
Aku leka permainan mimpi
Aku asyik perhiasan palsu

Aku sudah tinggal rangka
Aku sudah tanggal pakaian
Aku sudah tak malu tak segan
Aku sudah tidak peduli

Hati ini sekeras batu
Perasaan ini lompong sahaja
Jiwa ini dikoyak halus
Kepala ini kosong belaka


Mata sudah memberi isyarat
Walau minda belum puas
Bermain kata sebanyak mungkin
Hanya mahu memuaskan nafsu

Hanya itukah tajuk utama
Yang aku berhempas pulas
Hanya setitis kepuasan
Sebagai bekalan sebelum beradu

Sampai bila akan selesai
Ufuk timur atau barat
Matahari naik atau turun
Kerana aku hanyalah manusia
Yang memerlukan suntikan dan dorongan
Untuk melangkah setapak ke hadapan



Tuesday June 7th , 2011

Tuesday, 25 October 2011

Sebolehnya aku mahu

Demi melupakan yang bergasak dalam kepala
Aku sanggup menongkat kelopak mata
Demi melegakan kesesakan di dalam dada
Aku sanggup memuntahkan segala kata

Aku benci sekali rasa di jantung
Yang mencucuk dan menghiris
Yang tidak meluka atau berdarah
Hanya berat duka dan lara

Kerana aku mahu ianya padam
Kerana aku mahu ianya pergi
Dilupakan
Disisihkan
Dipinggirkan
Dicampakkan

Dari kotak pemikiran ini
Dari relung hati ini
Kerana ianya memamah hati
Kerana ianya membakar jiwa
Kerana ianya sakit yang ngilu

Amat sukar membuang pergi
Rasa dan ingatan yang bertubi-tubi
Namun inilah yang diberi
Oleh batin yang sedang berperi

Aku tidak mahu mengeluh lagi
Aku serik, jemu dan bosan
Kerana ianya tidaklah berfaedah
Hanya merosak jantung dan hati

Aku tahu aku sedar
Tetapi masih bernakhodakan rasa
Yang mampu menggelapkan angkasa
Memutuskan yang salah membabi buta

Detik demi detik aku tunggu
Namun ianya tidak tiba-tiba
Yang aku mengakui silap sendiri
Yang aku berlapang dada dek kekhilafan

Tetapi aku tetap aku
Yang azali yang hakiki
Yang tidak tahu membela diri
Yang hanya tahu memendam rasa
Yang hanya mampu terkilan rasa

Sebolehnya aku mahu
Hati ini keras bak batu
Tidak merasa apa-apa
Setiap kali dihempuk mahupun dihentam

Sebolehnya aku mahu
Kepala ini berhenti berputar
Akan cerita yang tidak bermakna itu
Alihkan kepada yang lebih bergetar

Sebolehnya aku mahu
Sentiasa menang bila berlawan
Sentiasa berjaya mengapai bintang
Sentiasa tenteram dan gemilang

Sebolehnya aku mahu
Biarlah kental bak besi waja
Biarlah kebal dan kebas
Dari rasa yang menyakitkan jiwa

Sebolehnya aku mahu
Segalanya dirungkai segera
Semuanya bertemu titiknya
Selesainya amanat juga tanggungan

Sebolehnya aku mahu
Impian dapat diusahakan
Bukan terbengkalai seperti bangkai
Semakin hari semakin mereput

Sebolehnya aku mahu
Menggilap parangku yang berkarat
Biar bersinar memancar-mancar
Mengasah parangku yang tumpul
Biar putus seurat rambut

Sebolehnya aku mahu
Kepala ini sentiasa waspada
Biar jelas biar tenang
Moga bijaksana bertingkah bertahan

Sebolehnya aku mahu
Mengikis segala daki
Mengebas segala debu
Daki kemalasan dan penangguhan
Debu penafian dan kecut perut

Tuesday June 7th , 2011

Monday, 24 October 2011

Tentang hati

Hati,
Bila sudah membuat keputusan akan lega dan
melupakan masalah yang dihadapi sehinggalah
di waktu nak melaksanakan keputusan itu.

Hati,
Bila tiba waktu yang dinanti,
akan mulai berbelah bagi,
tidak berani melangkah kaki .
Takut akan bayangan sendiri.

Hati,
Bila dah berdolak dalik akan cepat membuat dalih
berundur dengan alasan tak munasabah
dek kerana takut tersalah pilih

Takut menyesal selepas itu.
Walhal, selama ini pun banyak keputusan
yang diambil adalah salah
tidak pun ada rasa menyesal.

Hati,
Bila sudah dirundung risau
mulalah berfikir akan
yang baik-baik sahaja.
Sebagai satu escapism
yang amat merugikan dan memusnahkan.


Hati,
Bila rapuh dan goyah cepat saja melepaskan apa yang digenggam.
Bukanlah suatu yang molek diamalkan tetapi itulah pekerti diri.

Hati,
Bila diserang badai gemuruh,
akan menyerah kalah
tewas sebelum bergerak
walaupun seinci.

Hati,
Bila keras berdegil dengan apa yang dicita tidak peduli pantang dan larang.
Pekak telinga dari nasihat dan buta mata dari pandangan.
Kalau itu yang dikehendaki jangan dihalang atau ditentang.

Hati,
Bila cuba bersujud dan merendah diri kepada yang Esa
ada saja bisikan dan tusukan halus yang bijak memperdaya.

Hati,
Bila kata mahu menyerah segalanya kepada yang Satu
seolah-olah plastik dan palsu.

Hati,
Bila asyik melayan rasa nan indah memang leka,
di waktu yang sama merosak binasa.

Hati,
Yang diharapkan dapat mendidik
bukanlah pembimbing yang unggul.

Hati,
Yang penuh rasa dan gejolak
tetap menjadi nakhoda pengemudi pelayaran
walaupun diketahui akan sesat.

Hati,
Bukan rosak dek nikotin, alkohol atau lelemak lebihan makanan.
Tetapi rosak dek tiada daya tahan yang kental, daki dosa dan  karat tabiat.

Hati,
Apa lagi yang ada kepada mu selain seketul daging
yang penuh dengan urat saraf dan darah,
yang merajai segalanya.

Hati,
Memandu kehendak,
ingin dan cita diri,
yang mana impian,
yang mana mimpi dan
yang mana khayalan semata.

Hati,
Banyak berselindung dan bermuslihat
dalam meraduk air perjalanan hidup ini
yang semakin hari semakin keruh dan dalam.

Hati,
Kenapa engkau tidak bertindak bijak,
menasihati si akal membuat pilihan yang tepat
bukannya yang salah dan cuma indah untuk seketika.

Hati,
Kata orang jangan diikut nanti mati,
kalau tak mati pun sengsara yang amat sangat.

Hati,
Yang dulu tak pandai bermain kata,
kini sudah pandai berhelah entah
untuk menyelamatkan diri
atau terus membunuh.

Hati,
sampai bila mahu terus begini
aku pun tidak tahu.


6/6/2010

Sunday, 23 October 2011

Wahai segala

Hari yang cerah, terang benderang
dengan suluhan sang mentari
Namun kotak pemikiran ini
Masih suram dan kelam

Wahai kepala,
suluhlah ke dalam otakmu dengan cahaya kesungguhan
Di manakah azam yang telah dipacak dalam diri
sebagai teras untuk bergerak ke hadapan?
Lupakah engkau akan berhelai-helai senarai kemahuan yang
mahu engkau capai dan laksanakan?

Wahai diri,
engkau cuma bijak dalam merangka dan mengatur
tetapi tidak bijak dalam mengerah
dan mengawal hati dan perasaanmu
Malah hati dan perasaan masih bermaharajalela
memerintah dan mengawal setiap denyut nadimu
Bangkitlah, lawanlah musuh ketatmu itu
katakan padanya, aku sudah jemu tunduk kepadamu
Aku tidak lagi mahu berada di bawah jari telunjukmu
Aku mahu bebas dari cengkamanmu
Aku mahu terbang tinggi di angkasa
seperti sang burung yang lepas bebas
tanpa ada yang menghalang

Wahai diri,
kejutkankah dari lena tidurmu
sedarlah, ini bukan masanya untuk
engkau terus diulit mimpi-mimpi indah yang mengasyikkan
Ini adalah masa darurat yang menentukan hidup matimu di dunia ini
Belajarlah dari kesilapan lampau
yang engkau telah lakukan berulang-ulang kali
tanpa setitis rasa penyesalan.

Wahai diri,
pandanglah ke dalam dirimu
engkau sebenarnya amat lemah
terlalu banyak yang perlu diubah
Terlalu banyak yang perlu dilakukan
Terlalu banyak yang perlu digapai

Wahai diri,
musabahlah
bangkitlah
sedarlah
berdirlah di alam nyata
Jangan lagi engkau menolak segala kenyataan
yang berlaku di hadapan matamu
Jangan lagi engkau berdolak dalik
Jangan lagi engkau menidakkan
apa yang sedang berlaku dan apa yang akan berlaku
Jangan engkau memalingkan mukamu dan lari dari hakikat ini

Wahai diri,
tetapkanlah pendirianmu
keraskanlah hatimu
selesaikan masalahmu
Jangan lagi engkau menangguh-nangguhkannya
Paksalah setiap anggotamu untuk bekerja keras
melawan hawa nafsu yang jahat
Berperanglah dengan sifat dan sikap burukmu
Sesungguhnya engkau mampu melakukannya

Wahai akal,
bergeraklah
bekerja
jangan engkau duduk membisu dan melihat diri
menjadi hamba hawa nafsu dan jiwa yang hitam

Wahai akal,
berfikirlah cara dan usaha
untuk menghambat
segala anasir jahat yang menjadi
daki dalam lipatan otakmu.

Wahai akal,
berusahalah,
gilapkan sel-sel otakmu yang sudah berkarat
lincirkanlah sendi-sendi otakmu yang mengeras
dan kaku kerana sudah lama tidak bekerja

Wahai akal,
engkau sepatutnya memandu hati
dan perasaan bukan sebaliknya

Wahai akal,
cepatlah
cepatlah bertindak
berfikir secara waras dan kritikal

Wahai akal,
aku sudah jemu
penat dan amat kecewa dengan
apa yang berlaku selama ini

Wahai akal,
sudah terlalu banyak masa yang terbuang kerana
ketidakupayaanmu
kelemahanmu
kedangkalanmu
Inilah masanya untukmu bangkit dan
berjuang melawan
berperang untuk kesejahteraan bersama
kecemerlangan
kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat

Wahai akal,
cepatlah engkau bangkit
aku sudah tidak sabar lagi berada di dalam lembah kekalahan ini

Wahai akal,
aku mahu berada di puncak kejayaan
berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat.

Wahai akal,
ayuhlah
aku sudah tidak betah lagi hidup dalam dalam kebodohan ini
aku mahu keluar dari segala kesempitan yang melingkari diri ini
bersungguh-sungguhlah engkau dalam mengusahakan perubahan yang diidamkan


Wahai akal,
aku tidak mahu menjadi seorang yang kalah
sesal
hampa
kecewa
miskin
papa kedana hanyalah kerana engkau
yang enggan bekerja untuk keluar dari
lembah kegagalan ini

Wahai akal,
segeralah
carilah punca untuk kita mendaki lembah kegagalan ini
ke arah puncak kejayaan

Wahai akal
gilaplah kemampuanmu
kemahiranmu
kebolehanmu

Wahai akal,
tanamkan semangat juang yang tinggi
bekerjalah dengan tidak jemu
dan penat.

10.50am 21/1/2010

Saturday, 22 October 2011

Mampukah aku?

Hilang dalam pencarian
Pencarian yang semakin kabur tujuannya
Tujuan yang semakin semakin jauh di mata
Mata yang sudah tidak sekata dengan hati

Hati yang semakin keliru arah
Arah yang sudah tidak berkompas
Kompas yang sudah kehilangan jarumnya
Jarum yang sepatutnya menentukan pedoman

Pedoman yang memandu hala tuju ke matlamat
Matlamat yang berlandaskan perancangan yang jitu
Perancangan yang hanya tinggal pada nama
Nama yang sekadar penyedap kata

Kata yang pernah bermaksud
Maksud yang sudah tiada bernilai
Nilai yang menjadi pertikaian
Pertikaian yang hebat dalam diri

Diri yang semakin tewas melawan
Melawan rasa hati, perasaan dan jiwa
Hati, perasaan dan jiwa yang engkar
Engkar tidak mahu pasrah dan menyerah

Pasrah dan menyerah kepada yang Maha Agung
Yang Maha Agung tempat bersujud
Bersujud menyerah diri
Diri yang penuh debu dan dosa

Debu dan dosa di dalam diri di dalam hati
Diri dan hati yang perlu disucikan
Suci dan bersih dari kemungkaran
Kemungkaran yang melingkari kehidupan

Hidup yang perlu mempunyai wawasan
Wawasan di dunia dan di akhirat
Di dunia semakmur mungkin
Di akhirat sebahagia mungkin

Mampukah aku?   ........5.13am

4.44am 21/01/2010

Friday, 21 October 2011

Masa, aku dan alam

Masa berlalu sepantas kilat
Berkelip saja mata sudah petang
Menoleh ke kanan sudah Jumaat
Menjeling ke kiri sudah sebulan
Bangkit dari kerusi mengeliat
Meregang sendi dan urat
Rupanya sudah setahun

Menilik mukaku ke cermin
Rambut yang putih menghiasi kepala
Pipi yang cengkung dan kering
Wajah yang keruh dan sejuk
Mata yang kelabu dan kabur

Namun hati tetap muda
Terjejas langsung tiada
walaupun usia menginjak ke senja
Masih berlagu indah nan pesona
Seolah-olah  anak remaja
Yang baru mengenal dunia

Yang tidak punya sebarang ralat
Yang terbang ke bumbung langit
Ke hujung dunia berputar ligat
Di lautan mimpi lemas dan hanyut

Asyik berleka sedemikian rupa
Menafikan fitrah kehidupan manusia
Mengelak dari satu perkara yang nyata
Bahawa aku sudah lama menghirup udara

Urusanku yang tidak pernah selesai
Atau sengaja tidak mahu melerai
Sedang waktu tidak pernah dimiliki
Cepat perginya tak pernah menanti

Aku tetap aku
Dalam diri perubahan tidak seinci pun
Walhal aku adalah seorang insan
Yang berubah secara lumrahnya isi alam

Ada benihnya
Ada cambahnya
Ada pucuknya
Ada batangnya
Ada bunganya
Ada luruhnya
Ada patahnya
Ada reputnya

Namun
Aku tegar membohongi diri
Yang aku masih lagi di musim bungaku
Sedangkan hukum alam
Sudah mengatakan tidak begitu
Alangkah malangnya aku
Yang enggan menerima hakikat


6/6/10 2.40am

Thursday, 20 October 2011

Luahan

Bengkakku di otak bukan di muka
Ingatan yang menyesakkan tempurung kepala
Apa yang berlaku di suatu ketika
Apa yang masih terbayang di mata

Walaupun ketika beramal ibadat
Fikiran tetap di sana melekat
Tidak boleh disekat-sekat
Segala emosi turut terjerat

Mungkin kerna sifat baran amarah
Mungkin kerna emosi yang salah memanah
Mungkin kerna ego yang luka parah
Mungkin kerna prasangka yang cepat melatah

Sifat dan emosi yang membawa siksa
Ego dan prasangka yang melemahkan jiwa
Marah yang membakar segala yang ada
sangkaan yang bukan-bukan belaka

Sedikit diguris sudah terluka
Cepat tersentuh dipendam saja
Sukar meluah itulah payahnya
hati remuk merana padahnya

Perlu mencari penawar dan ubat
Perasaan yang mencengkam perlu dirawat
Bagi melegakan tegangnya urat
Biar tenteram bila bersolat
Demi hidup yang lebih berkat

4.02am Tuesday Feb 10, 2009

Wednesday, 19 October 2011

Monolog seorang aku

Aku adalah makhluk yang bosan
Aku adalah manusia yang jemu
Bosan pada diri yang kacau
Jemu pada hati yang keliru

Aku adalah insan yang lemah dan kecundang
Aku adalah orang yang resah dan gelisah
Lemah fikiran kecundang semangat
Resah jiwa gelisah rasa

Aku adalah maharaja yang takbur dan angkuh
Aku adalah sultan yang asyik dan haloba
Takbur menggunung tinggi angkuh mencecah awan
Asyik pada dunia haloba pada perhiasannya

Aku adalah hamba yang hilang dan sesat
Abdi yang ingkar dan alpa
Hilang pedoman sesat di perjalanan
Ingkar perintahNya alpa hukumNya

Aku yang mencari jawapan
Aku yang mencari ketenangan
Aku yang mencari kebahagiaan
Aku yang mencari kesempurnaan

Jawapan yang tidak pernah puas
Ketenangan yang tidak pernah hadir
Kebahagiaan yang di luar jangkauan
Kesempurnaan yang hanya milikNya

Itulah aku, yang tunduk dan akur pada perintah nafsu semata
Itulah aku, yang terpesona pada dongengan syaitan yang direjam
Itulah aku, yang lemas dan tenggelam di lautan perasaan yang tidak bertepi
Itulah aku, yang sempit pandangan dan singkat akal

Itulah aku, yang tidak pernah berpada dan mengukur apa yang ada
Itulah aku, yang tidak pernah berlapang dada dan bersyukur...........

7.30pm Monday Feb 09, 2009

Tuesday, 18 October 2011

Cermin mimpi

Aku pernah bermimpi
yang aku  berlari-lari
yang dikejar taulan sendiri
nun di sana berdiri-diri

Aku berlari dan terus berlari
mengejar bayangan yang tidak pasti
berlari deras tanpa berhenti
kepada mereka yang sedang menanti

Kini sudah ku mengerti
akan mimpi yang berperi
kerana mereka sudah melengkapi
satu kehidupan yang hakiki

Di mana aku masih keciciran
dari satu perjuangan
merebut satu penghidupan
menggenggam satu pencapaian

Inilah yang aku sedari
bila angin perkhabaran datang meniti
maka cermin mereka yang aku teliti
tidak sebanding mengukur diri

Dulu, akulah yang bersinar akulah yang cemerlang
dan mereka? hanya biasa-biasa sahaja
nah, sekarang merekalah yang bergemerlapan yang gemilang
dan aku? kurang dari biasa-biasa sahaja

Sakit sungguh tamparan ini
menusuk jauh ke lubuk hati
aku lena selama ini
diulit oleh indahnya mimpi

Bukan cemburu bukan iri
rasa teramat rendah diri
kecewa, sedih dan menyayati
menikam ke dada bagaikan belati

Benar, aku kesal
betul, aku sesal
jujur, aku akur
bahawa aku telah gugur

Aku tidak seharusnya kesal, aku tahu
tanpa kekesalan, keinsafan tidak menyinggah
aku tidak seharusnya sedih, aku tahu
tanpa kesedihan, kegembiraan tidak menjengah

Aku tahu, ini bukan persoalannya
anugerah Yang Esa bandingannya tiada
kepada hambaNya berbeza-beza
cuma tidak zahir dipandang mata

Mungkin lebihku di lain sisi
sisi yang tidak aku sedari
yang sudah lama diri memiliki
yang aku rasa tidak mencukupi

Ah, itu hanya alasan belaka
untuk mengubat hati yang luka
hakikat sebenar jangan dilupa
bahawa diri terlalu alpa
Monday June 20th , 2011

Monday, 17 October 2011

Aku 6

Aku cukup hairan
Kenapa mereka hairan melihat aku
Sedangkan aku tidak pernah hairan melihat mereka

Aku tidak pernah kesah
Aku tidak pernah peduli
Kerana aku tahu siapa diri aku
Kerana aku tahu apa yang aku buat

Mereka memandang dengan hujung mata
Mereka memandang dari atas ke bawah
Mereka berbisik di belakangku
Mereka mengata tentang aku
Mereka menyindir aku
Mereka mengutuk aku

Mereka menghukum aku dengan mata yang menjeling
Mereka menyisihkan aku dengan bibir yang mencebik
Mereka menganggap aku hina
Mereka merasa aku tidak setaraf mereka
Mereka menendang aku
Mereka menyepak aku
Mereka mengusir aku
Mereka menghalau aku

Aku bukan gila
Aku masih berakal
Aku tahu berfikir
Aku masih siuman

Hanya kerana aku tidak sama dengan mereka
Hanya kerana aku tidak setuju dengan cara mereka
Hanya kerana aku berbuat lain sedikit dari mereka
Hanya kerana aku tidak akur dengan adat mereka
Hanya kerana aku tidak berpakaian seperti mereka
Hanya kerana aku tidak berfikir macam mereka

Maka jadilah aku seekor kera yang sumbang
Tidak mengapa
kerana aku tahu aku bukan seekor kera

Friday June 17th , 2011

Sunday, 16 October 2011

Aku 5

Aku ini ibaratkan seekor anak kucing yang sesat
basah bulu dan misainya
tidak berupaya menggunakan kepekaan deria mencari jalan pulang

Aku ini amat takut yang akan sesat selama-lamanya
walaupun aku nampak rumah yang tersergam indah di seberang sana

Takut menyeberang jalan akan lajunya kereta
takut dilanggar
takut cedera
takut terjatuh
takut terluka
takut sakit
takut mengambil risiko

Bagaikan anak kucing yang kesejukan
aku mengeletar sendirian di seberang sini
sambil kepala meninjau akan rumah di seberang sana

Alangkah meriahnya rumah itu
penuh warna kebahagiaan
cahaya kegembiraan
sinar keriangan
yang bergemerlapan

Milik akukah rumah itu?
Sedangkan aku masih di seberang sini
tidak punya akal bagaimana nak menyeberang jalan yang sibuk
sedangkan aku hanyalah seekor anak kucing
yang lemah lagi kerdil

Lantas
aku mundar mundir di tepi jalan
fikiranku penuh dengan bayangan
takut kelam malam yang akan datang
takut lebat hujan yang akan turun

Namun
aku tidak punya ikhtiar
Aku buntu
aku sedih
aku kecewa

Dengan diri sendiri yang tewas sebelum mencuba

15/6/2010

Saturday, 15 October 2011

Aku 4

Aku membungkus diri ini dengan selimut yang paling tebal dan besar
Aku biarkan diri dalam dakapan yang kukuh dan kejap
Membiarkan seluruh alam berputar dari siang ke malam
dari hari ke minggu
dari bulan ke tahun

Aku tetap berdiri di sini tanpa ada sebarang perubahan yang nyata
Yang ada mungkin aku terus membungkam di dalam lingkungan ini
Tapi sampai bila?
Sampai bila aku mahu berada di keadaan seperti ini

5/6/2010 6.30pm

Friday, 14 October 2011

Aku 3

Ada waktunya aku merasakan aku bagaikan satu lembaga yang kaku,
berdiri tanpa erti
tiada rasa dalam diri
kekalutan emosi

Gelembung kehampaan
Tercari dorongan
Dari dalam yang tidak pernah kekal
maka aku lemah dan layu
tidak bermaya.

23/5/10 11.35am

Thursday, 13 October 2011

Hidup tanpa arah

Sesat dalam pencarian yang tidak berkesudahan
Pencarian yang tidak disertai dengan kesungguhan hati
Hati yang lara dan tenggelam dalam kemusnahan yang amat dalam
Kemusnahan yang tidak dirasakan penting oleh hati yang bebal dan degil
Kedegilan yang membungkus kemas rasa kecemasan dan keterpaksaan
Rasa yang tidak terjentik untuk berikhtiar
Ikhtiar yang tidak memberi bekas
Hasil yang berbekas seperti yang diinginkan
Keinginan yang semakin memudar dan sering dilupakan

Date 13/04/2010;

Wednesday, 12 October 2011

Aku 2

Aku adalah aku
yang sulit dimengertikan
yang tegar dan degil, sukar digoyah dan digegar
yang enggan dan engkar, payah dipujuk atau dipaksa

Aku adalah manusia yang sering
lupa diri
lupa asal
lupa tujuan

Aku adalah insan yang asyik berleka dan alpa
di setiap ruang masa
di segenap penjuru waktu

Aku adalah makhluk
yang sombong
yang bodoh
yang malas

Aku adalah hamba
yang hilang pedoman
yang sesat di gurun perasaan
yang lemas di lautan nafsu

Aku adalah orang
yang tewas digoda si syaitan yang lunak dan merdu
yang luntur semangat dek dilanda badai emosi
yang gagal mendaki gunung impian dan cita

Otakku kelesuan dek hanya melayari angan dan khayal
yang berbakul-bakul banyaknya
yang berbatu-batu jauhnya
yang berhari-hari lamanya


Date 21/03/2010 7.00pm

Tuesday, 11 October 2011

Retak

Sebanyak manapun keinginan,
tidak dapat menampung keteguhan layar hati ini dari bergoyah sekiranya dihembus bayu kejenuhan dalam pencarian ini.

Mencari kepuasan hakiki amat menuntut kesabaran dan ketabahan yang tinggi.

Sedangkan itulah ciri yang tiada.

Sumbingnya cawan hati ini yang hanya menunggu retaknya kecekalan dan pecahnya kesungguhan dan dengan itu mengalirlah segala himpunan semangat keluar dari diri.

Maka semakin lemahlah diri dan fikiran dalam berjuang untuk keberhasilan yang nyata.

Sejujurnya memaksa diri yang engkar dan enggan tunduk hanya menjauhkan lagi hati dari suluh kebenaran.

Date 08/05/2010 Saturday

Monday, 10 October 2011

Adakah ianya

indah di mata
merdu di telinga
halus di kulit
manis di lidah
harum di hidung

busuk meloya
hodoh tak terperi

baik bak malaikat
jahat bak syaitan
garang bak harimau
jinak seperti kucing

seperti bulan, bintang atau pun matahari
seperti ombak, angin atau pun awan
seperti pahlawan, pendekar atau pun lanun
seperti puteri, permaisuri atau pun ibu tiri
seperti abang, ayah atau pun adik
seperti kakak, nenek atau pun makcik
seperti raja, sultan atau pun firaun
seperti hujan, ribut atau pun petir


2.43am 3/2/2010

Sunday, 9 October 2011

Mimpi 1

Bermimpi memang mudah.
Bermimpi memang indah.
Bermimpi itu memang menyeronokkan

Tapi bukan penyudah kisah.
Bukan penyelesaian masalah.
Bukan pelerai kekusutan.
Bukan jawapan kepada persoalan.

Istana impian yang aku bina terlalu kuat dan teguh.
Sukar untuk melanggar tembok-temboknya yang sungguh tebal dan gagah yang dibina berdekad lamanya
Aku terus tinggal dalam istana khayalan ini
terlalu asyik dan leka
enggan menerima hakikat

29.5.2010 2.40am

Saturday, 8 October 2011

Atau, akan terus begini selamanya

Ada kalanya aku ternoktah dalam pencarian
ada ketikanya aku buta dalam terang
bermimpi di masa sedar
pekak di keriuhan suara
bisu di waktu berbicara

Dan saat itu aku lalui lagi
harungi lagi
acap kali

Sehingga aku sudah tidak punya rasa untuk merasa
apa yang luka
apa yang patah
apa yang parah

Aku terapung dalam buih  ciptaan sendiri
gelembung hidup yang pura-pura
mungkin pecah bila-bila

Aku
jelak memikir yang lesu
jenuh mengkhayal  yang indah
jemu mengulang yang sama

Inilah aku, yang
tidak berjiwa kental
tidak dapat menahan tusukan onak
tidak dapat menerima sebuah ketewasan

Inilah aku, yang
cepat mengalah
cepat mengeluh
cepat merungut
cepat merintih
cepat berputus asa

Inilah aku, yang
tunduk kepada pujukan nafsu
akur dengan desakan perasaan
mundur dek sedikit rintangan
kendur dek sedikit cabaran

Inilah aku, yang
tepu dalam kekosongan dan kehampaan
lemas dalam semangat yang masih membakar
lelah dalam penantian yang tiada penghujung

Lantas,
apakah kesudahannya

Atau,
akan terus begini selamanya

;12.10pm Sunday June 12th , 2011

Sang Peliut

Aku duduk di tepi tingkap kaca
Memandang keluar melihat segala
Ada yang melambai sayu di mata
Menatap yang tersayang tak lepas di mata

Sang peliut berbunyi panjang
Bangunan putih rendah sederet bergerak perlahan ke belakang
Sekejap kemudian kelihatan pokok kecil, hijau kemudian besar-besar
Mula bergerak laju menerpa ke belakang

Maka sudah sahlah aku memulakan satu titik permulaan
Permulaan ke penghujung yang mengambil masa
Masa yang berlalu bersama perjalanan ini
Namun aku hanya duduk di tepi jendela

Memerhati keluar jendela meriba tangan
Tidak ada pun tercetus dalam tempurung kepala
Tidak ada yang tercuit di lubuk hati
Kerana jiwa dan perasaan di penjara dirantai

Pepohon hijau berlari deras
Pandangan yang dilontar keluar sudah tidak bermakna lagi
Yang pasti aku tetap duduk di sini
Yang pasti aku dibawa bergerak ke hadapan

Segala yang sudah ditinggalkan di belakang
Cepat, laju dan pantas, cuma aku yang tercatuk di sini
Tanpa rasa, tanpa sesalan, tanpa keinsafan walau secebis
Memang hati ini sudah mati, bersama akal yang tumpul dan tidak berbisa

Waktu membawa aku pergi ke hadapan
Aku tetap juga menjadi penumpang yang beku
Sepatutnya akulah yang menjadi peneraju
Yang menentukan arah perjalanan waktu ini

Tidak begitu yang terjadi
Kerana aku terlalu lemah
Membiarkan segala di sekitar bergerak seputar alam
Sewajib dan selazimnya, kerana tidak satu pun aku cuba mengubah

Kerana aku  tidak berpijak di bumi
Kerana  hanya tahu senang tidak yang susah
Maka aku tetap meriba tangan
Membiarkan diri dibawa lari oleh sang waktu

Inilah nasib yang ditempa
Inilah malang yang dicari
Inilah aku yang tak pernah surut merungut
Inilah aku yang tidak pernah kenal erti insaf

Sang peliut berbunyi lagi
Perjalanan semakin ke hadapan
Teroleng ke kiri ke kanan bergegar gegar
Kerana aku hanyalah penumpang

Bukan yang memandu ke depan
Aku hanya menumpang dagu
Menanti dan berharap agar
Perhentian di hadapan adalah yang terindah

Perhentian yang merungkai segalanya
Sedangkan hakikatnya bukan begitu
Perjalanan masa yang tidak terurus
Bukan ini yang dituntut dipinta

Alangkah malangnya seorang aku
Yang tidak pernah jemu terbang tinggi
Yang enggan menjejak tanah yang becak
Yang hanya menanti mimpi menjelma

Setiap yang mula akan berakhir
Akan berakhirkah satu penantian
Akan diraikah satu kemenangan
Akan disesalkah satu ketewasan

Kerana aku hanya senang berteka teki
Bukan bersifat bersungguh atau mencari
Kerana aku mahu yang indah bagaikan mimpi
Bukan pahit dan lopak sepanjang mendaki

Sang peliut berbunyi lagi
Sudah sampaikah ke perhentian yang dinanti
Apa yang ada di perhentian ini
Satu kejayaan, kegagalan atau ilusi

Yang laju sudah mula perlahan
Menandakan masanya sudah tiba
Di hadapan adalah perhentian itu
Sudah cukupkah persediaan atas segala kemungkinan

26th Feb 2011

Hanya satu

Halakan fikiran kepada yang satu
Hanya satu,
Titiknya di situ
Bukannya merayap serta merayau
Segenap tempat segenap penjuru

Pakukan hati kepada yang satu
Hanya satu,
Letaknya begitu
Bukannya termanggu dungu
setiap kali dicakar diadu

Tumpukan mata kepada yang satu
Hanya satu,
Lihat yang tulen lagi berkilau
Bukan yang pudar lagi palsu
licik mengecek dan menipu

Pusatkan telinga kepada yang satu
Hanya satu,
Dengar yang diwahyu
Bukan yang merobek dan meragu
yang menumpulkan taring dan kuku

Arahkan kaki kepada yang satu
Hanya satu,
Matlamat yang jitu
Bukannya berliku dan keliru
hanya kerana tak berguru

Sandarkan semangat kepada yang satu
Hanya satu,
Biar membakar setiap waktu
bukannya malap dan terus layu
dek percikan air yang lalu


Thursday June 2nd , 2011

Impian itu hanya menjadi ulitan mimpi

Impian itu hanya menjadi ulitan mimpi
Cita-cita itu hanya menari dalam jiwa
Harapan itu hanya berani bergegar dalam kepala
Keghairahan itu hanya berbelit dalam hati

Tidak mahu ianya keluar
Menjengukkan mukanya ke alam nyata

Tidak mahu ianya bergerak
Menapak ke arah sinar cahaya

Tidak mahu ia berhadapan
Menghakim diri di muka cermin

Tidak mahu ianya menimbang
Tingkahnya sumbang di tanah rata

Tidak mahu ianya berkata
Tuturnya tersumbat di anak tekak

Thursday June 2nd , 2011

Lumpur apakah yang terpalit ini

Pekat, likat, busuk dan hanyir
Dari mana ianya datang
Sejak bila ianya ada
Siapa pula yang membawanya ke sini

Akukah yang tidak sedar

Yang akulah pemiliknya
Yang akulah pembawanya
Yang akulah penyebabnya
Yang akulah penyebarnya

Akukah yang tidak merasa

Yang aku begitu cemar
Yang aku begitu busuk
Yang aku begitu hanyir
Yang aku begitu hancing

Dan sedetik yang lepas aku insaf

Yang aku harus hindari lopak ini
Yang aku harus jauhi tempat ini
Yang aku harus tinggalkan daerah ini
Yang aku harus pecahkan cengkeram ini

Demi kelangsungan sebuah kehidupan
Yang nyata di sini
Yang pasti di sana


Thursday June 2nd , 2011

Aku 1

Kaku
Beku
Keras dan
Kejang

Itulah mereka
Itulah kamu
Itulah engkau

Aku

Lebih senang menuding jari

Thursday June 2nd , 2011

Sedarlah

Bahawa diri diperhati
Bahawa diri ditimbang
Bahawa diri dicatat
Ujian, dugaan, cabaran dan halangan

Inilah masanya melatih diri
Sabar agar kepala dapat berfikir dengan tenang
Cekal agar hati tidak remuk redam
Tabah agar masih berupaya berdiri kukuh selepas itu

Bukankah sudah dipesan
agar berpada bila suka mahupun duka?
Bukankah sudah dimaklumi
yang mendatang akan jauh lebih baik dari yang ini?

Maka kenapa harus

Dibayangi bayang nan hitam
Diganggu suara nyamuk nan membingit
Dikoyak ego nan rapuh
Dicurah cuka nan pekat

Jangan, jangan sekali

Pedulikan bayangan hitam
Hiraukan nyamuk yang kelaparan
Semua itu hanya permainan waktu
Yang mendidik kewarasan dan kebijaksanaan

Moga aku mampu bertahan
Moga aku bijak memutus
Moga aku tabah menerima
Moga aku cekal mengharungi

Bersabar adalah belatiku
Berlapang dada adalah pedangku
Bersungguh adalah jamungku
Berserah adalah perisaiku


Kerana aku adalah berlian itu
Kerana aku amat bernilai
Kerana aku bukan mereka
Kerana aku adalah aku

Jalanku tidak sama
Kaki ini tidak pernah mahu akur
akan anak tangga yang perlu didaki
Kerana aku mahu tangga yang lebih tinggi

Mereka adalah mereka
Mereka di dalam dunia mereka
Mereka hanya faham bahasa mereka
Mereka bersandiwara di pentas mereka

Aku tidak sekali-kali mahu
Berada di pentas mereka
Bahu membahu dengan mereka
Berkubang di lumpur mereka


Kerana mereka adalah mereka
Aku mahu menjauhkan diri
Aku tidak mahu menjadi mereka
Noktah di antara kami tidak mungkin akan bertemu

Tuesday June 7th , 2011

Usia

Adalah angka-angka yang dibilang
Adalah ukuran yang punya denyut nadi
Adalah masa yang tak pernah mundur
Adalah kedutan dan uban
Adalah sendi yang ketat
Adalah tulang yang reput
Adalah nafas yang semput
Adalah kecerdasan yang merosot
Adalah kewarasan yang memudar
Adalah kematangan yang dipersoalkan
Adalah keseronokan yang tidak mahu dilepaskan
Adalah kejahilan yang semakin menebal
Adalah milik si dunia
Adalah kepunyaanNya
Adalah Dia yang memberi ketentuan

Bahawa umurmu hanya sampai di titik ini.

Tuesday June 7th , 2011

Bosan dengan keterpaksaan

menjerit dalam bisu
memberontak dalam diam
membeku dalam panas
mendidih dalam sejuk
menolak dalam tunduk
mengia dalam geleng


mahu berubah
mahu menang
mahu berjaya
mahu terbang
mahu bebas
mahu keluar
mahu pergi


Tapi 
ke mana
bagaimana


destinasi belum pasti
tujuan masih kabur
perjalanan terlalu jauh
ujian datang bertimpa


bekal tidak cukup
kitab tidak khatam
ilmu tidak dalam
jiwa tidak kental
hati tidak bulat
akal tidak panjang


Thursday June 16th , 2011