Adakah begini rasanya
Keinginan yang membuak
Kehendak yang menggelegak
Kemahuan yang bergejolak
Adakah ini satu pedoman
meletakkan aku di satu landasan
Atau hanya satu kebetulan
Di persimpangan waktu dan perasaan
Jantung mula berdegup kencang
Hati sudah melonjak girang
Tangan sibuk karang mengarang
gubahan indah berkajang-kajang
Alangkah senangnya rasa di jiwa
Jika ini bernilai harta
Maka aku duduk berkata
Siang malam aku tak mengira
Mahu berpujangga mahu menyanyi
Mahu bersajak mahu berpuisi
Tidak mengukur kepandaian diri
Tidak menyukat kemahiran diri
Besar sungguh angan di kepala
Kerja dikelek entah ke mana
perut kempis semakin nyata
Dek kerana menurut kata sang jiwa
Memang asyik berharap-harap
Di puncak gunung di bulan di bintang
Digantung dipacak begitu tinggi
Didongak ke langit pandang tak nampak
Aku megah aku bangga
Yang aku kini
Sudah bertatih
Tak serik tak bosan
Aku melayan rasa
Jiwa dan raga
Semuanya gila
Buka pekung nampak dada
Aku tak malu
Kerana bertingkah di gelap malam
Kerana tiada siapa yang perasan
Yang aku sedang rancak mengikut rentak
Aku larut dalam dunia yang tak nyata
Aku hanyut di gelombang angan
Aku leka permainan mimpi
Aku asyik perhiasan palsu
Aku sudah tinggal rangka
Aku sudah tanggal pakaian
Aku sudah tak malu tak segan
Aku sudah tidak peduli
Hati ini sekeras batu
Perasaan ini lompong sahaja
Jiwa ini dikoyak halus
Kepala ini kosong belaka
Mata sudah memberi isyarat
Walau minda belum puas
Bermain kata sebanyak mungkin
Hanya mahu memuaskan nafsu
Hanya itukah tajuk utama
Yang aku berhempas pulas
Hanya setitis kepuasan
Sebagai bekalan sebelum beradu
Sampai bila akan selesai
Ufuk timur atau barat
Matahari naik atau turun
Kerana aku hanyalah manusia
Yang memerlukan suntikan dan dorongan
Untuk melangkah setapak ke hadapan
Tuesday June 7th , 2011
No comments:
Post a Comment