Sunday, 23 October 2011

Wahai segala

Hari yang cerah, terang benderang
dengan suluhan sang mentari
Namun kotak pemikiran ini
Masih suram dan kelam

Wahai kepala,
suluhlah ke dalam otakmu dengan cahaya kesungguhan
Di manakah azam yang telah dipacak dalam diri
sebagai teras untuk bergerak ke hadapan?
Lupakah engkau akan berhelai-helai senarai kemahuan yang
mahu engkau capai dan laksanakan?

Wahai diri,
engkau cuma bijak dalam merangka dan mengatur
tetapi tidak bijak dalam mengerah
dan mengawal hati dan perasaanmu
Malah hati dan perasaan masih bermaharajalela
memerintah dan mengawal setiap denyut nadimu
Bangkitlah, lawanlah musuh ketatmu itu
katakan padanya, aku sudah jemu tunduk kepadamu
Aku tidak lagi mahu berada di bawah jari telunjukmu
Aku mahu bebas dari cengkamanmu
Aku mahu terbang tinggi di angkasa
seperti sang burung yang lepas bebas
tanpa ada yang menghalang

Wahai diri,
kejutkankah dari lena tidurmu
sedarlah, ini bukan masanya untuk
engkau terus diulit mimpi-mimpi indah yang mengasyikkan
Ini adalah masa darurat yang menentukan hidup matimu di dunia ini
Belajarlah dari kesilapan lampau
yang engkau telah lakukan berulang-ulang kali
tanpa setitis rasa penyesalan.

Wahai diri,
pandanglah ke dalam dirimu
engkau sebenarnya amat lemah
terlalu banyak yang perlu diubah
Terlalu banyak yang perlu dilakukan
Terlalu banyak yang perlu digapai

Wahai diri,
musabahlah
bangkitlah
sedarlah
berdirlah di alam nyata
Jangan lagi engkau menolak segala kenyataan
yang berlaku di hadapan matamu
Jangan lagi engkau berdolak dalik
Jangan lagi engkau menidakkan
apa yang sedang berlaku dan apa yang akan berlaku
Jangan engkau memalingkan mukamu dan lari dari hakikat ini

Wahai diri,
tetapkanlah pendirianmu
keraskanlah hatimu
selesaikan masalahmu
Jangan lagi engkau menangguh-nangguhkannya
Paksalah setiap anggotamu untuk bekerja keras
melawan hawa nafsu yang jahat
Berperanglah dengan sifat dan sikap burukmu
Sesungguhnya engkau mampu melakukannya

Wahai akal,
bergeraklah
bekerja
jangan engkau duduk membisu dan melihat diri
menjadi hamba hawa nafsu dan jiwa yang hitam

Wahai akal,
berfikirlah cara dan usaha
untuk menghambat
segala anasir jahat yang menjadi
daki dalam lipatan otakmu.

Wahai akal,
berusahalah,
gilapkan sel-sel otakmu yang sudah berkarat
lincirkanlah sendi-sendi otakmu yang mengeras
dan kaku kerana sudah lama tidak bekerja

Wahai akal,
engkau sepatutnya memandu hati
dan perasaan bukan sebaliknya

Wahai akal,
cepatlah
cepatlah bertindak
berfikir secara waras dan kritikal

Wahai akal,
aku sudah jemu
penat dan amat kecewa dengan
apa yang berlaku selama ini

Wahai akal,
sudah terlalu banyak masa yang terbuang kerana
ketidakupayaanmu
kelemahanmu
kedangkalanmu
Inilah masanya untukmu bangkit dan
berjuang melawan
berperang untuk kesejahteraan bersama
kecemerlangan
kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat

Wahai akal,
cepatlah engkau bangkit
aku sudah tidak sabar lagi berada di dalam lembah kekalahan ini

Wahai akal,
aku mahu berada di puncak kejayaan
berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat.

Wahai akal,
ayuhlah
aku sudah tidak betah lagi hidup dalam dalam kebodohan ini
aku mahu keluar dari segala kesempitan yang melingkari diri ini
bersungguh-sungguhlah engkau dalam mengusahakan perubahan yang diidamkan


Wahai akal,
aku tidak mahu menjadi seorang yang kalah
sesal
hampa
kecewa
miskin
papa kedana hanyalah kerana engkau
yang enggan bekerja untuk keluar dari
lembah kegagalan ini

Wahai akal,
segeralah
carilah punca untuk kita mendaki lembah kegagalan ini
ke arah puncak kejayaan

Wahai akal
gilaplah kemampuanmu
kemahiranmu
kebolehanmu

Wahai akal,
tanamkan semangat juang yang tinggi
bekerjalah dengan tidak jemu
dan penat.

10.50am 21/1/2010

No comments:

Post a Comment