Monday, 24 October 2011

Tentang hati

Hati,
Bila sudah membuat keputusan akan lega dan
melupakan masalah yang dihadapi sehinggalah
di waktu nak melaksanakan keputusan itu.

Hati,
Bila tiba waktu yang dinanti,
akan mulai berbelah bagi,
tidak berani melangkah kaki .
Takut akan bayangan sendiri.

Hati,
Bila dah berdolak dalik akan cepat membuat dalih
berundur dengan alasan tak munasabah
dek kerana takut tersalah pilih

Takut menyesal selepas itu.
Walhal, selama ini pun banyak keputusan
yang diambil adalah salah
tidak pun ada rasa menyesal.

Hati,
Bila sudah dirundung risau
mulalah berfikir akan
yang baik-baik sahaja.
Sebagai satu escapism
yang amat merugikan dan memusnahkan.


Hati,
Bila rapuh dan goyah cepat saja melepaskan apa yang digenggam.
Bukanlah suatu yang molek diamalkan tetapi itulah pekerti diri.

Hati,
Bila diserang badai gemuruh,
akan menyerah kalah
tewas sebelum bergerak
walaupun seinci.

Hati,
Bila keras berdegil dengan apa yang dicita tidak peduli pantang dan larang.
Pekak telinga dari nasihat dan buta mata dari pandangan.
Kalau itu yang dikehendaki jangan dihalang atau ditentang.

Hati,
Bila cuba bersujud dan merendah diri kepada yang Esa
ada saja bisikan dan tusukan halus yang bijak memperdaya.

Hati,
Bila kata mahu menyerah segalanya kepada yang Satu
seolah-olah plastik dan palsu.

Hati,
Bila asyik melayan rasa nan indah memang leka,
di waktu yang sama merosak binasa.

Hati,
Yang diharapkan dapat mendidik
bukanlah pembimbing yang unggul.

Hati,
Yang penuh rasa dan gejolak
tetap menjadi nakhoda pengemudi pelayaran
walaupun diketahui akan sesat.

Hati,
Bukan rosak dek nikotin, alkohol atau lelemak lebihan makanan.
Tetapi rosak dek tiada daya tahan yang kental, daki dosa dan  karat tabiat.

Hati,
Apa lagi yang ada kepada mu selain seketul daging
yang penuh dengan urat saraf dan darah,
yang merajai segalanya.

Hati,
Memandu kehendak,
ingin dan cita diri,
yang mana impian,
yang mana mimpi dan
yang mana khayalan semata.

Hati,
Banyak berselindung dan bermuslihat
dalam meraduk air perjalanan hidup ini
yang semakin hari semakin keruh dan dalam.

Hati,
Kenapa engkau tidak bertindak bijak,
menasihati si akal membuat pilihan yang tepat
bukannya yang salah dan cuma indah untuk seketika.

Hati,
Kata orang jangan diikut nanti mati,
kalau tak mati pun sengsara yang amat sangat.

Hati,
Yang dulu tak pandai bermain kata,
kini sudah pandai berhelah entah
untuk menyelamatkan diri
atau terus membunuh.

Hati,
sampai bila mahu terus begini
aku pun tidak tahu.


6/6/2010

No comments:

Post a Comment