Saturday, 29 October 2011

Si burung kecil itu

Hutan batu adalah tempat tinggalku untuk sekian lamanya sehinggakan aku lupa akan bicara alam. Mengejar kehidupan kota untuk sekian lamanya membuatkan aku terpesona dan terpedaya. Telinga ini sudah sekian lamanya tidak mendengar deruan ombak dan kicauan beburung. Mata ini sudah sekian lamanya tidak menatap ombak yang berkejaran  di pasiran pantai, sang unggas yang berterbangan bebas atau tupai yang melompat-lompat di celah-celah dahan dan ranting.

Keasyikan yang melalaikan aku untuk sekian lamanya sehingga pudar dari ingatan ini akan hijaunya bukit bukau, birunya langit yang dijunjung, nyamannya udara pagi, dedaun hijau yang dibasahi titisan embun takkala sang suria keluar dari persembunyiannya di sebalik awan. 

Sungguh, aku sudah lupa bagaimana rasanya digigit pacat dan lintah. Aku sudah lupa akan jernihnya air di kali. Aku sudah lupa akan sepinya malam, dan dinginnya dinihari. Lupa akan bunyinya sang kodok selepas hujan, sang cengkerik, si enggang malah si lotong yang terpekik di hujung kampung. Atau suara si burung hantu yang meremangkan dan menyeramkan di tengah malam. 

Pelangiku selepas hujan hanyalah pelangi di celah-celah bangunan kaca. Langitku berjerebu, udaraku membahang, kering dan berdebu. Bukit bukauku adalah deretan ratusan bumbung rumah-rumah teres yang berserakan. Sungaiku keruh dan pekat yang membawa sejuta kisah penamat penghuni kota. Telinga membingit dengan pekikan enjin dan muzik yang memecahkan gegendang telinga. Hariku dimulakan dengan kesesakan lalu lintas di lebuhraya. Begitulah juga caranya aku menamatkan hariku, dengan berada di jalanraya, terhinjut-hinjut bagaikan si arnab tempang.

Aku akur bila tidak lagi mampu mengkiaskan isi alam semulajadi sebagai suluh dan sandaran kata-kata dek miskinnya pengalaman, luputnya ingatan, sempitnya pemandangan, hilangnya rasa tentang alam itu sendiri. Sebuah kehidupan yang kaku. Setiap saat ada fungsinya dan perkara yang sama harus pula diulang beribu kali, hingga ke hujung masa. 

Aku adalah manusia yang berada di sebalik dinding batu ini yang leka 
mengejar waktu berebut peluang
mengejar wang berebut harta 
mengejar pangkat berebut darjat

Atas nama survival

Maka tidak hairanlah jika aku sudah lupa si burung kecil itu namanya si pipit kerana aku hanya memandang si gagak hitam saban hari.



Tuesday July 5th , 2011

No comments:

Post a Comment