Saturday, 8 October 2011

Sang Peliut

Aku duduk di tepi tingkap kaca
Memandang keluar melihat segala
Ada yang melambai sayu di mata
Menatap yang tersayang tak lepas di mata

Sang peliut berbunyi panjang
Bangunan putih rendah sederet bergerak perlahan ke belakang
Sekejap kemudian kelihatan pokok kecil, hijau kemudian besar-besar
Mula bergerak laju menerpa ke belakang

Maka sudah sahlah aku memulakan satu titik permulaan
Permulaan ke penghujung yang mengambil masa
Masa yang berlalu bersama perjalanan ini
Namun aku hanya duduk di tepi jendela

Memerhati keluar jendela meriba tangan
Tidak ada pun tercetus dalam tempurung kepala
Tidak ada yang tercuit di lubuk hati
Kerana jiwa dan perasaan di penjara dirantai

Pepohon hijau berlari deras
Pandangan yang dilontar keluar sudah tidak bermakna lagi
Yang pasti aku tetap duduk di sini
Yang pasti aku dibawa bergerak ke hadapan

Segala yang sudah ditinggalkan di belakang
Cepat, laju dan pantas, cuma aku yang tercatuk di sini
Tanpa rasa, tanpa sesalan, tanpa keinsafan walau secebis
Memang hati ini sudah mati, bersama akal yang tumpul dan tidak berbisa

Waktu membawa aku pergi ke hadapan
Aku tetap juga menjadi penumpang yang beku
Sepatutnya akulah yang menjadi peneraju
Yang menentukan arah perjalanan waktu ini

Tidak begitu yang terjadi
Kerana aku terlalu lemah
Membiarkan segala di sekitar bergerak seputar alam
Sewajib dan selazimnya, kerana tidak satu pun aku cuba mengubah

Kerana aku  tidak berpijak di bumi
Kerana  hanya tahu senang tidak yang susah
Maka aku tetap meriba tangan
Membiarkan diri dibawa lari oleh sang waktu

Inilah nasib yang ditempa
Inilah malang yang dicari
Inilah aku yang tak pernah surut merungut
Inilah aku yang tidak pernah kenal erti insaf

Sang peliut berbunyi lagi
Perjalanan semakin ke hadapan
Teroleng ke kiri ke kanan bergegar gegar
Kerana aku hanyalah penumpang

Bukan yang memandu ke depan
Aku hanya menumpang dagu
Menanti dan berharap agar
Perhentian di hadapan adalah yang terindah

Perhentian yang merungkai segalanya
Sedangkan hakikatnya bukan begitu
Perjalanan masa yang tidak terurus
Bukan ini yang dituntut dipinta

Alangkah malangnya seorang aku
Yang tidak pernah jemu terbang tinggi
Yang enggan menjejak tanah yang becak
Yang hanya menanti mimpi menjelma

Setiap yang mula akan berakhir
Akan berakhirkah satu penantian
Akan diraikah satu kemenangan
Akan disesalkah satu ketewasan

Kerana aku hanya senang berteka teki
Bukan bersifat bersungguh atau mencari
Kerana aku mahu yang indah bagaikan mimpi
Bukan pahit dan lopak sepanjang mendaki

Sang peliut berbunyi lagi
Sudah sampaikah ke perhentian yang dinanti
Apa yang ada di perhentian ini
Satu kejayaan, kegagalan atau ilusi

Yang laju sudah mula perlahan
Menandakan masanya sudah tiba
Di hadapan adalah perhentian itu
Sudah cukupkah persediaan atas segala kemungkinan

26th Feb 2011

No comments:

Post a Comment