Aku pernah bermimpi
yang aku berlari-lari
yang dikejar taulan sendiri
nun di sana berdiri-diri
Aku berlari dan terus berlari
mengejar bayangan yang tidak pasti
berlari deras tanpa berhenti
kepada mereka yang sedang menanti
Kini sudah ku mengerti
akan mimpi yang berperi
kerana mereka sudah melengkapi
satu kehidupan yang hakiki
Di mana aku masih keciciran
dari satu perjuangan
merebut satu penghidupan
menggenggam satu pencapaian
Inilah yang aku sedari
bila angin perkhabaran datang meniti
maka cermin mereka yang aku teliti
tidak sebanding mengukur diri
Dulu, akulah yang bersinar akulah yang cemerlang
dan mereka? hanya biasa-biasa sahaja
nah, sekarang merekalah yang bergemerlapan yang gemilang
dan aku? kurang dari biasa-biasa sahaja
Sakit sungguh tamparan ini
menusuk jauh ke lubuk hati
aku lena selama ini
diulit oleh indahnya mimpi
Bukan cemburu bukan iri
rasa teramat rendah diri
kecewa, sedih dan menyayati
menikam ke dada bagaikan belati
Benar, aku kesal
betul, aku sesal
jujur, aku akur
bahawa aku telah gugur
Aku tidak seharusnya kesal, aku tahu
tanpa kekesalan, keinsafan tidak menyinggah
aku tidak seharusnya sedih, aku tahu
tanpa kesedihan, kegembiraan tidak menjengah
Aku tahu, ini bukan persoalannya
anugerah Yang Esa bandingannya tiada
kepada hambaNya berbeza-beza
cuma tidak zahir dipandang mata
Mungkin lebihku di lain sisi
sisi yang tidak aku sedari
yang sudah lama diri memiliki
yang aku rasa tidak mencukupi
Ah, itu hanya alasan belaka
untuk mengubat hati yang luka
hakikat sebenar jangan dilupa
bahawa diri terlalu alpa
Monday June 20th , 2011
No comments:
Post a Comment