Hari Selasa Makcik menalipon aku
Jumaat malam baru aku bergegas ke stesyen bas
Aku tahu tidak sepatutnya aku berlengah
Aku meletakkan kerja sebagai alasan paling atas
Esoknya aku sudah berada di tepi katilnya
seorang tua yang hanya tinggal tulang dan kulit
Matanya pejam dengan dada yang turun naik, lemah
terbuku di hati, rasa bersalah
Aku mengusap lembut tangan yang kasar itu
dia membuka kelopak matanya perlahan
secarik senyum dihadiahkan kepadaku
dipejamkan kembali pelupuk matanya
Aku buka Yassin kecil dan membaca perlahan
Kedengaran tapak-tapak di belakangku
Makcik sudah sampai, aku sebenarnya kurang selesa dengan dia
Mungkin kerana bila aku SRP dia baru SPM
Tengahari itu Pak Teh dan Mak Teh pula berkunjung
Seperti biasa akan membuka pekung yang mahu ditutup
Memutarkan pita rakaman buruk yang tidak mahu didengar
Meremuk redamkan hati yang sudah lama dijeruk
Tentang Kak Long yang melangkah pergi
Apabila memilih orang seberang dari Abah
Tentang Pak Su yang berkerat rotan
Hanya kerana sekangkang tanah
Tentang Abah yang pemarah dan pendendam
Tentang Abah yang cerewet dan kedekut
Tentang kami anak-anak yang menjauh
Tentang darah, tanah dan harta
Oh Pah Teh,
Abah itu sedang bertarung
Abah itu sedang sengsara
Abah itu sedang tersiksa
Oh Mak Teh,
Bukan ini yang diperlukannya
Bukan ini yang dapat membantunya
Bukan ini yang dapat melegakannya
Beginikah akhirnya satu hayat
Berjalanan ke satu destinasi yang pasti
Meniti saat-saat yang genting
Menanti bertukarnya alam
Sedangkan di sini belum selesai
Masih banyak yang tergantung
Yang perlu dibereskan
Yang tertunggak dan tertangguh
Sunday June 26th , 2011 as Rejab 25th, 1432H - 10.28am