kaki seringkali tersadung tersepak
banyaknya lopak dan onak melengah langkah
luka di kaki hati memberontak merajuk
enggan meneruskan hayunan kaki
Ah, semua itu cumalah alasan semata
sakitnya sedikit saja
tapi dibesar-besarkan
seolah-olah cedera di medan perang
alangkah lemahnya diri
langsung tidak punya daya juang
Perjalanan masih jauh dan sukar
banyak lagi yang perlu ditempuhi dilalui
denai yang perlu disusuri
bukit yang harus didaki
lurah yang mesti dituruni
sungai yang wajib diharungi
dalam melengkapkan diri
dalam liku-liku kehidupan ini
Hujan, panas, lapar dan dahaga
hanyalah ujian yang biasa
janganlah pula cepat berputus asa
hanya kerana gagal sekali dua
Kegagalan bukan noktah sebuah cerita
terjemahkan ia sebagai pembakar semangat
berikhtiar lagi sehingga berhasil
cubalah berubah demi tujuan
matlamat tidak perlu ditukar
cuma pendekatan harus berbeza
agar tidak mengulangi kesilapan yang sama
Jangan putus asa
jangan kecewa
lihatlah dari sudut yang lain pula
bukalah mata
lapangkan dada
rencanakan dengan teliti
tetapkan hati
jangan berbolak balik lagi
Ikut perancangan berhati-hati
jangan ditinggal walau seinci
1.25am Sabtu 27 February 2010 13 Rabiatul Awal 1431H
No comments:
Post a Comment