Kusyen empok sandar tangan berukir kayu
Tempat duduk yang sudah lama kosong
Atau kerusi itu hanya satu perlambangan
sebuah meja kaca kecil sarat dengan kertas
Tidak tersusun apatah lagi terurus
Hikayat apa yang sedang ditulis
Atau sekadar pelepas sandiwara
Sebuah bilik kecil berhawa dingin
Berpermaidani coklat berlampu kuning
Ruang yang penuh makna dan erti
Tetapi tetap kosong dan hambar
Lorong-lorong kecil, berpermaidani putih
Meja-meja kerja yang tersusun rapi
Tiada penghuni atau pemilik
Yang duduk berteleku melunaskan amanah
Musim kemarau yang mengelisahkan
Kering dan tidak ada yang rancak
Kami di sini tertanya-tanya
Akan adakah helaian biru di penghujung bulan
Zaman yang penuh pancaroba
Bagi anak-anak manja yang tidak tahu bekerja keras
Zaman tidak pernah berubah
Cuma kami yang tidak tegar dengan kerasnya hukum alam
Mungkin, hati dan tangan sudah diikat
Mungkin, kepala juga sudah diselungkup
Maka tidak mahu lagi merungkai rantaian
Maka tidak mahu mengintai akan peluang yang lain
Inilah masalahnya, yang tidak diperhalusi
Inilah akibatnya, bila enggan bertungkus lumus
Sedikit demi sedikit kesakitan itu dapat dirasakan
Namun tetap tegar dipatuk ular dari keluar dari lubuk ini
29/6/2011 12.31pm
No comments:
Post a Comment