Dari bawah tempurung ini
Aku mengintai cerahnya cahaya
Dunia luar yang begitu asing
Luas terbentang tidak terkira
Dari bawah tempurung ini
Aku menghitung dan mengira
Apa yang ada di luar sana
Dan jika sekiranya aku di luar sana
Dari bawah tempurung ini
Aku membina istana impian
Yang diperbuat dari intan dan berlian
Yang dipacak di puncak yang tinggi
Dari bawah tempurung ini
Aku berandai dan beralasan
Tentang malangnya nasib yang menimpa
Tentang kegagalan dan kekecewaan
Dari bawah tempurung ini
Aku isikan perasaan tanpa keyakinan tanpa keberanian
Aku menipu diri sendiri
Demi menenangkan kepala yang kusut
Dari bawah tempurung ini
Aku menutup segala kemungkinan
AKu takut kehilangan keselesaan
Aku takut malu dan terhina
Dari bawah tempurung ini
Fikiran ini menjauh ke seantero dunia
Kalah mat jenin si raja angan
Kerana anganku lebih tinggi dan jauh
Dari bawah tempurung ini
Aku terus menerus begini
Tidak mengiraukan akan perginya masa
Tidak mengendahkan hujan dan kemarau
Dari bawah tempurung ini
Aku tidak pernah merasa terancam
Aku selesa dan amat takut
Akan bayangan ciptaan sendiri.
Saturday July 16th , 2011 as Syaaban 14th, 1432H - 4.31am
No comments:
Post a Comment